Keindahan Waktu Subuh
12/04/2009 08:34:00 PM Posted In Religius , Tholabul 'Ilmi Edit This 0 Comments »Keindahan Waktu Subuh
Mutiara Hikmah daripada Al-Quran dan As-Sunnah
Allah S.W.T berfirman:
"Wossubhi izaa tanaffasa"
Ertinya:
"Dan demi subuh fajarnya mulai menyingsing"
Waktu subuh adalah salah satu tanda kebesaran Allah yang menunjukkan keindahan ciptaan-Nya. Kerana waktu subuh punya pemandangan yang menakjubkan, rupa yang memancarkan kebesaran dan kelembutan. Siapa yang ingin mengetahui keindahan waktu subuh hendaklah ia melihat kedatangannya setelah solat subuh. Waktu subuh begerak seperti sembuh dalam jasad atau air dalam kayu. Kerana subuh telah merangkak dengan perlahan-lahan setelah gelapnya malam lalu waktu subuh itu menutup malam. Dunia seperti wajah yang memantulkan perhiasannya, memancarkan bahagian-bahagiannya, menggambarkan ciri-ciri hidupnya.
Alangkah indahnya waktu subuh. Sebab waktu subuh meniupkan angin segar, memancarkan cahaya yang teduh, sinar yang hangat. Waktu subuh menampakkan kehidupan, bunga melambai-lambai, bayangan menampak, daun-daun mulai terbuka, mulut-mulut para pencinta yang dapat menjawab kebingungan, penutup-penutup terbuka seperti terbukanya mata-mata orang yang sedang rindu sehingga menampakkan rahsia-rahsia hati.
Diwaktu subuh kembalilah gaung suara, titisan air hujan, lembutnya angin, gemersiknya air dan nyanyian burung-burung.
Pada waktu pagi para petani dengan cangkulnya ke sawah, orang pedalaman menarik kambing-kambingnya ke ladang rumput, siswa-siswi pergi ke sekolah, doktor ke kliniknya, dan para pedagang pergi ke kedainya. Subuh adalah azan yang memberitahu kehidupan, iklan tentang hari baru, suasana yang indah untuk bersungguh-sungguh dalam bekerja, memberi dan berkembang.
Akan tetapi apakah kamu tidak tertarik dengan kata-kata ini, "Demi waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing." Apakah kamu memerhatikan dengan penghormatan dan pengagungan terhadap keindahan bahasa? Bagaimana subuh bernafas? Ini adalah pertanyaan yang dapat dijawab oleh orang yang membaca tanda-tanda kebesaran Tuhan di alam semesta. Waktu subuh dapat bernafas seakan-akan dia merasa sedih atas kehilangan kekasihnya. Lalu keluarlah nafas-nafasnya yang panas daripada kedalaman waktu subuh. Atau seperti orang yang terpukul dan mengadu rasa sakitnya. Lalu keluarlah jeritan daripada rasa sakit itu, atau seperti orang yang dizalimi sehingga hatinya kelam. Lalu terpancarlah roh dengan nafas beratnya. Atau seperti orang yang dipenjara dan dibelenggu kedua tangan dan kedua kakinya. Lalu ia mengekspresikan luapan penderitaanya.
Alangkah indahnya bahasa Al-Quran. Setiap satu huruf adalah mutiara. Siapa tahu waktu subuh bernafas setelah malam yang panjang dan sangat keras kerana kegelapan, peninggalan dan pemutusan. Barangkali waktu subuh bernafas seperti bernafasnya orang yang gembira kerana bertemu dengan kekasihnya, atau orang yang berbahagia kerana melihat sahabatnya. Kerana waktu subuh menghadap waktu siang yang indah, kehidupan yang bersemangat, gerakan yang giat, sungguh-sungguh dan berkorban.
Yang dimaksudkan adalah waktu subuh sebelumnya mengalami sesak nafas, langkah-langkah terbelenggu, lalu datanglah kebebasan, sehingga dapat bernafas segar. Dan aku mengajak ahli bahasa dan sasterawan untuk berdiri khusyuk memahami makna ayat, "Dan demi waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing", agar merasakan nikmatnya keindahan dan mengetahui rahsia mukjizat Al-Quran yang kekal. Dan agar mereka memasuki catatan keagungan dan kekuasaan sang Khaliq, sehingga melihat indahnya perkataan dan perbuatan Allah yang Maha Mulia dan Agung.
0 komentar:
Posting Komentar